MASAC terima geran RM2 juta perangi dadah

Azyyati Ahmad
Mei 22, 2016 13:21 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menyampaikan cek sumbangan RM2 juta kepada Presiden Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC), Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd pada majlis pelancaran MASAC, Ahad.- FotoBERNAMA
Geran sejumlah RM2 juta diserahkan kepada Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) bagi usaha mengurangkan bilangan kes penyalahgunaan dadah.
Dana tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menuntut majlis berkenaan menterjemahkan segala usaha memerangi dadah kepada keberhasilan.
Ahmad Zahid berkata walaupun badan bukan kerajaan (NGO) terlalu banyak di negara ini, tetapi beliau masih kecewa dengan peningkatan jumlah penagih dadah.
Sehubungan itu, beliau mahu semua NGO terbabit bersatu dalam mendapat hasil terbaik bagi usaha mengurangkan jumlah penagih dadah.
"Kita ada berapa banyak persatuan, ada berapa banyak aktiviti yang telah dibuat, berapa banyak wang yang dibelanjakan, itu usaha yang dikeluarkan, tetapi kita harus lihat apa hasil dari inisiatif tersebut.
“Apakah keberhasilan dari dana yang diberikan, dari usaha kerajaan, dari daya pintar yang dibuat NGO serta daya pemulihan dari pusat-pusat pemulihan? Ini harus disatukan dan penyatuan ini cukup penting,” kata Zahid dalam ucapannya di majlis perlancaran MASAC di ibu negara hari ini.
Zahid turut berkata beliau sendiri akan meneliti hasil usaha dari dana RM2 juta yang diberikan kerajaan itu.
MASAC adalah gabungan lebih 60 NGO yang ditubuhkan untuk mengukuhkan usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di negara ini.
Majlis berkenaan juga adalah untuk menyelaras inisiatif pembanterasan yang lebih teratur.
MASAC didaftarkan pada 2014, dengan bantuan semua anggota sedia ada. Ia menyediakan perkhidmatan kemasyarakatan seperti perkhidmatan rawatan serta pemulihan dadah secara percuma.
#Ahmad Zahid Hamidi #Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia #MASAC #NGO #Timbalan Perdana Menteri
;