Masa untuk menjadikan Malaysia sebagai 'Davos dunia blockchain'

Hilal Azmi
Julai 13, 2023 18:18 MYT
World Blocktech Forum 2023 merupakan yang pertama diadakan di dunia menjadi medan penting interaksi pelbagai perspektif dalam mencari peluang baharu menggunakan teknologi blockchain.
TEKNOLOGI rantaian blok atau blockchain kini kembali menjadi bualan hangat selepas hampir setahun menyepi dek kerana kejatuhan harga pasaran wang kripto.
Namun, perkembangannya tidak sama sendu seperti bualan di media sosial memandangkan pengaplikasian teknologi ini terus diteroka oleh peminat serta pakar di seluruh dunia.
Jika anda berada dalam komuniti web3, pastinya kesenduan itu tidak terasa memandangkan sesi libat urus dan pertemuan maya tetap berlaku hampir setiap hari.
Buat pertama kalinya, World Blocktech Forum 2023 akan diadakan di Kuala Lumpur yang akan menggabungkan komuniti pengguna dan pembangun teknologi blockchain, agensi pertahanan serta agensi kerajaan dari seluruh dunia.
“Inilah ‘Davos’ untuk dunia blockchain”
Pengerusi Penganjur World Blocktech Forum 2023, Effendy Zulkifly dalam ucapan aluannya sempena majlis prapelancaran pada Khamis memberitahu, ini antara detik bersejarah apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk menggabungkan tiga pihak utama dalam perkembangan teknologi blockchain di dunia iaitu pembangun teknologi, agensi kerajaan dan juga agensi pertahanan.
“50 tahun lalu, Forum Ekonomi Dunia (WEF) bermula dengan jumlah peserta yang kecil, tetapi kita lihat kini, komuniti merekalah yang menguasai ekonomi dunia malah memanfaatkan forum berkenaan untuk mencari penyelesaian bagi cabaran masa depan.
“Bagi saya, ini masanya untuk kita jadikan Kuala Lumpur sebagai hab blockchain dunia menerusi penganjuran World Blocktech Forum 2023,” katanya.
Kalau benar mahukan integriti dan ketelusan, manfaatkan blockchain
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Ts. Ds. Amirudin Abdul Wahab, dunia siber merupakan ancaman global untuk semua.
“Kita semua perlu cakna akan ancaman ini, serta perlu tahu cara mengatasinya.
“Teknologi blockchain yang terbina dengan ciri-ciri keselamatan menjadi antara tunjang utama kepada reka bentuk pengaplikasiannya sekali gus menjadikan teknologi ini antara yang paling telus dan berintegriti,” katanya.
World Blocktech Forum 2023 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 sehingga 16 Ogos ini membabitkan peserta dari lebih 25 buah negara.
Antara yang dijangka hadir meliputi perusahaan korporat, usahawan blockchain terkemuka, dan syarikat kriptografi terkemuka.
Mereka berpeluang meneliti potensi web3, NFT, mata wang kripto, blockchain, Fintech Islam, dan Metaverse, sambil menilai cabaran dan peluang yang ditimbulkan oleh IR4.0 dan keselamatan siber.
Untuk maklumat lanjut tentang Forum World Blocktech 2023 atau pertanyaan media, sila layari laman web WBF 2023 di www.blocktech.world atau hubungi pegawai media di +60146360290 (Kapten Haziman Amli).
#keselamatan siber #World Blocktech Forum #WBF2023
;