Masa untuk boikot peniaga haloba - Reezal

Astro Awani
Februari 3, 2015 20:11 MYT
REEZAL: HARGA BARANG: Masa untuk boikot peniaga haloba - Gambar fail
Kenyataaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kedegilan peniaga Cina menurunkan harga barang dilihat langkah mula untuk memboikot peniaga yang bersifat haloba di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, umum juga perlu memahami realiti ekonomi Malaysia yang tidak mungkin dapat lari daripada fakta itu selepas pengumuman harga minyak baru-baru ini.
"Ismail adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian.
"Sebagai bekas Menteri KPDNKK sudah tentu dia cukup arif tentang perihal harga barangan, jumlah pemborong dan peniaga yang terlibat dengan perniagaan barangan keperluan harian rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Reezal mengulas catatan laman Facebook Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta peniaga Cina memberikan sepenuhnya kerjasama untuk menurunkan harga barangan selepas pengumuman penurunan harga minyak.
Kata Ismail, kedegilan pihak-pihak tertentu untuk menurunkan harga barangan boleh menyebabkan kemarahan rakyat keseluruhannya kepada kerajaan.
Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas mengakui majoritinya memang mewakili kaum tertentu selain realiti ekonomi Malaysia tidak mungkin dapat lari daripada fakta berkenaan.
"Pokoknya bukan kita mahu menjadi rasis. Kenyataan Ismail punya asas dan alasan kukuh," ujarnya.
Katanya lagi, sebagai bekas menteri yang menjaga hal ehwal pengguna, sudah tentu Ismail juga sedar pengguna Malaysia tidak menggunakan kuasa pengguna yang ada pada mereka untuk mengekang kenaikan harga barangan secara tidak berpatutan.
Tegasnya, tindakan boikot perniagaan yang menjual barangan atau membekalkan perkhidmatan pada harga yang tidak berpatutan adalah selaras dengan hak asasi kepenggunaan sejagat.
"Kita sedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan untuk melancarkan kempen 'Boikot Perdana' di seluruh negara.
"Rakyat tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berwajib semata-mata dalam memerangi peniaga-peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan," katanya.
Jelasnya, kuasa pengguna lebih berpengaruh jika bertindak di atas semangat padu dalam usaha menolak peniaga yang bersikap haloba.
#haloba #KPDNKK #peniaga #reeal
;