Masa tuaian tidak serentak menyumbang kepada gangguan bekalan - Pengarah ITAFoS

Irfan Faruqi
Oktober 3, 2023 21:43 MYT
Rafii menjelaskan ketika ini Malaysia hanya mampu mengeluarkan 63 peratus sahaja keperluan beras bagi keperluan tempatan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Masa menuai di jelapang-jelapang padi dalam negara yang tidak serentak menyumbang kepada gangguan bekalan beras.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohd Rafii Yusop berkata contohnya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hanya memulakan proses menuai pada bulan September dan berakhir pada Oktober berbanding di jelapang-jelapang lain.
“Kita ada 12 jelapang padi negara termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) dan sebagainya.
“Jelapang-jelapang padi ini masa penuaiannya adalah tidak serentak. Sebagai contoh, MADA menuai padi pada September dan selesai pada Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Rafii menjelaskan ketika ini Malaysia hanya mampu mengeluarkan 63 peratus sahaja keperluan beras bagi keperluan tempatan, manakala 37 peratus lagi di import.
Seterusnya, daripada keseluruhan bekalan beras tempatan, MADA menyumbang 40 peratus kepada pengeluaran padi dalam negara.
Menurut beliau, selepas MADA selesai menuai padi, isu bekalan beras dijangka mula mereda.
Masa tuaian tidak serentak menyumbang kepada gangguan bekalan - Pengarah ITAFoS
#Padi #bekalan beras tempatan #ITAFoS #mada
;