Masa terbaik perkemas pasak ekonomi

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Februari 17, 2020 11:10 MYT
Apa yang perlu dilakukan oleh Malaysia bagi memperkemas pasak ekonominya? - Gambar hiasan
BEBERAPA malam lalu saya telah menggunakan perkhidmatan e-hailing yang mengangkut saya dari sebuah stesen televisyen ke rumah.
Stesen televisyen yang mana dan syarikat e-hailing yang mana itu tidak penting. Apa yang ingin saya kongsi bersama rakyat Malaysia adalah intipati perbincangan di antara saya dan pemandu e-hailing berkenaan.
Ia bukannya sekadar sembang kosong. Saya bertuah diberi peluang oleh Tuhan untuk bertemu dengan rakyat Malaysia yang mempunyai pemahaman mendalam mengenai keadaan ekonomi Malaysia ketika ini.
Perbincangan kami terarah kepada “kemurungan” ekonomi Malaysia pada ketika ini.
Ada dua pandangan beliau yang menarik perhatian saya.
Pertama, kemurungan atau pertumbuhan yang semakin perlahan ini adalah baik untuk perbetulkan asas ekonomi negara.
Beliau memberi contoh bagaimana kekayaan hasil pertumbuhan sektor pembinaan dan pasaran hartanah sebelum ini hanya dinikmati oleh sebahagian kecil masyarakat sahaja.
Kedua, sesuatu perlu dilakukan bagi mengimbangi impak negatif penularan wabak COVID-19.
Beliau memberi contoh rakannya selaku pengendali syarikat pelancongan yang hanya tinggal di rumah selepas sambutan Tahun Baharu Cina akibat ketiadaan permintaan.
Kedua-dua pandangan beliau tersebut memberi dua implikasi kepada perancangan dan pengurusan ekonomi negara.
Pertama, sekarang adalah masa terbaik untuk memperbetul dan memperkemas pasak ekonomi negara.
Pengalaman negara-negara maju seperti Korea Selatan jelas menunjukkan mereka bangkit menjadi antara sebuah ekonomi berpengaruh di rantau Asia setelah pengstrukturan semula ekonomi dilakukan semasa kemelesetan akibat krisis kewangan 1997/1998.
Apa yang perlu dilakukan oleh Malaysia bagi memperkemas pasak ekonominya?
Fokus perlu terarah kepada mencari sumber pertumbuhan baharu dan memperbaiki jurang pendapatan.
Kedua, di samping memperkemas pasak ekonomi, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pakej rangsangan bagi memastikan “enjin” ekonomi terus berfungsi.
Pakej rangsangan melalui suntikan perbelanjaan kerajaan ke dalam ekonomi adalah salah satu pilihan instrumen dasar fiskal yang tepat.
Kerajaan dijangka akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada penghujung Februari 2020. Kita tunggukan berapakah jumlah dan pakej yang dicadangkan nanti.
Tahun 2019 menyaksikan kerajaan menggunakan intervensi melalui instrumen dasar kewangan seperti kadar faedah dan kadar dasar semalaman (OPR) bagi meningkatkan prestasi ekonomi negara.
Dalam keadaan ekonomi semasa, intervensi melalui dasar kewangan didapati kurang berkesan.

* Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia atau Astro AWANI.

#e-hailing #kemurungan ekonomi #Kolumnis AWANI #Netherlands #pasak ekonomi
;