Masa terbaik calon SPM, SVM bertenang uruskan emosi
Sinar Harian
Februari 10, 2021 09:44 MYT
Februari 10, 2021 09:44 MYT
JOHOR BAHRU: Sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 yang berakhir pada Rabu memberi ruang dan peluang kepada mereka menguruskan emosi.
Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, ketika ini mereka memerlukan tempoh bertenang dan persiapan psikologi.
"Di samping itu, tempoh ini dapat membugarkan semula semangat pelajar agar lebih bermotivasi menghadapi detik peperiksaan tidak berapa lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sabtu lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dalam satu pekeliling memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 berakhir pada 9 Februari 2020.
Sementara itu, Normala berkata, calon boleh menghubungi guru atau mengikuti kelas tambahan melalui Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang masih boleh berlangsung jika perlu.
"Pembelajaran kendiri langkah terbaik menghilangkan tekanan pelajar selain meredakan debaran menjelang peperiksaan.
"Masa ini boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran selain memperbaiki kelemahan teknik menjawab soalan," katanya.