Masa semakin suntuk untuk waris MH370 failkan kes mahkamah - Peguam Penerbangan

Sathesh Raj
Ogos 21, 2015 17:14 MYT
Mengikut Fasal 35, masa yang dibenarkan untuk memfailkan kes undang-undang bermula bukan daripada waktu kerosakan atau kematian yang disahkan tetapi daripada waktu pesawat itu sepatutnya tiba di destinasi. - Gambar Fail
Keluarga penumpang dan krew pesawat penerbangan MH370 hanya mempunyai baki masa lapan bulan lagi untuk memfailkan kes, sebelum tempoh dua tahun di bawah perjanjian penerbangan antarabangsa mengikut Konvensyen Montreal 1999 terbatal dan tidak sah.
Menurut Gerald C.Sterns, peguam penerbangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, harapan terbaik untuk keluarga adalah untuk memfailkan kes undang-undang untuk memastikan mereka mempunyai 'hak untuk ganti rugi' berikutan tragedi MH370.
"Tidak ada 'Plan B' atau undang-undang lain. Keluarga perlu memastikan kes itu difailkan untuk mempunyai kes undang-undang dalam tempoh dua tahun (mengikut Konvensyen) dan tidak berlengah dengan menganggap masa itu boleh atau akan dilanjutkan," kata Sterns dalam temu bual eksklusif melalui emel dengan Astro AWANI.
Mengulas mengenai tindakan beberapa keluarga yang mendapatkan khidmat peguam untuk 'melanjutkan' masa memfailkan tuntutan di mahkamah sehingga punca sebenar kehilangan MH370 ditentukan, Sterns berkata, "Di bawah peraturan yang sangat jelas dan sedia ada dalam Konvensyen, ini kemungkinan besar tidak boleh dilakukan.
"Perkara 35 (Konvensyen) memperuntukkan bahawa hak ke atas ganti rugi 'terhapus' melainkan jika tindakan undang-undang difailkan di Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa, dalam masa dua tahun," katanya.
Tempoh dua tahun dirujuk bermula dari semasa pesawat itu gagal sampai ke destinasi yang dijadualkan.
Mengikut Fasal 35, masa yang dibenarkan untuk memfailkan kes undang-undang bermula bukan daripada waktu kerosakan atau kematian yang disahkan tetapi daripada waktu pesawat itu sepatutnya tiba di destinasi.
"MH370 adalah contoh terbaik bagaimana peruntukan ini boleh berkuat kuasa untuk 'menguji' hak untuk ganti rugi, dua tahun selepas masa ketibaan yang dijadualkan.
"Hakikatnya bahawa pesawat itu tidak ditemui, atau tidak akan ditemui, dan punca sebenar tidak dapat ditentukan, adalah undang-undang yang tidak relevan," kata Sterns yang juga pemilik firma undang-undang yang berpangkalan di San Francisco Bay Area.
Malaysia merupakan ahli konvenysen antarabangsa itu yang akan mengatasi mana-mana undang-undang tempatan mengenai tempoh masa untuk memfailkan kes undang-undang.
Malaysia menandatangani perjanjian tersebut pada tahun 2008.
"Ia adalah satu perjanjian antarabangsa yang mana Malaysia merupakan ahlinya, ia tidak boleh diubah atau 'lanjutkan' sama ada oleh kerajaan Malaysia atau syarikat penerbangan itu.
"Ini bukan bermakna syarikat penerbangan atau syarikat insurans yang mungkin dalam keadaan tertentu, bersetuju untuk lebih banyak masa, atau mendorong mereka berbuat demikian. Dan jika ia kekal status quo, semua hak keluarga akan 'terhapus' menjelang ulang tahun kedua pesawat itu nanti," katanya.
MH370 terputus hubungan dan hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Sterns berkata cara yang paling berhemah dan sah bagi keluarga adalah untuk memfailkan kes itu secepat mungkin.
"Walaupun mereka boleh mendapatkan sedikit kelonggaran melalui perjanjian, mereka perlu memastikan bahawa kes undang-undang difailkan di mahkamah sebelum tempoh tersebut. Hakikat kes tersebut difailkan tidak bermakna ia boleh diselesaikan pada masa sama," tambah Sterns.
Tegasnya, kovensyen tersebut merupakan "penyelesaian khas" kepada penumpang atau mereka yang terselamat kerana tidak ada penyelesaian lain.
Sterns berkata bagi pihak yang menuntut di Malaysia, kes tersebut hanya boleh dibawa di mahkamah Malaysia melainkan mereka menaiki penerbangan sehala (dalam kes MH370 China sebagai destinasi akhir).
#Gerald C.Sterns #Konvensyen Montreal #MH370 #penerbangan
;