MASA lantik Ahli Bersekutu bantu rangka penyelidikan, pembangunan komuniti
Kenyataan Media
Ogos 1, 2022 12:50 MYT
Ogos 1, 2022 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kemakmuran Bersama merupakan iltizam Kerajaan untuk membangunkan negara secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan rantaian bekalan.
Wawasan ini menyasarkan peningkatan kemakmuran negara dan pengukuhan kestabilan politik ke tahap baharu, selain memastikan rakyat bersatu-padu tanpa prejudis dalam meraikan kepelbagaian kaum dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.
Selari dengan aspirasi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) untuk menjadi badan pemikir bebas yang mengangkat idea dan analisis dasar negara berpandukan nilai kemakmuran bersama, MASA amat menghargai sokongan dan dukungan para cendekiawan, penggubal dasar dan pemain industri sebagai penyumbang penting ke arah pembangunan sosioekonomi Malaysia dalam konteks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Justeru, Program Felo MASA yang diperkenalkan pada 2021 selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Pemegang Amanah (BoT) akan dilanjutkan pada tahun ini, bagi membolehkan MASA mengoptimumkan nasihat dan kepakaran secara langsung dalam pelbagai bidang penyelidikan melalui siri kuliah, perbincangan kumpulan fokus (FGD), bengkel dan penyediaan modul.
Mulai tahun ini, MASA memperkenalkan Ahli Bersekutu sebagai salah satu pecahan di bawah Program Felo MASA untuk memberi peluang kepada individu yang terdiri daripada pensyarah universiti terkemuka, ketua pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin belia, selebriti, dan wakil media untuk menyumbang idea dan tenaga mereka dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan komuniti.
Semua ahli yang dilantik berpengalaman luas dalam bidang masing-masing sama ada aspek ekonomi, sosial, politik atau pembangunan lestari, yang sudah pasti akan membantu MASA dalam menyediakan input cadangan dasar bagi membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 dan melaksanakan aspirasi WKB2030.
Melalui program ini juga, bidang-bidang tumpuan penyelidikan lain MASA seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan sosiobudaya dapat dimantapkan sesuai dengan hasrat dan matlamat MASA untuk menjadi antara badan pemikir bebas yang disegani dan menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi.
Antara Felo Kehormat dan Felo yang dilantik ialah Prof Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah, Profesor Ulung Ekonomi, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM); Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak, Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Profesor Datuk Dr Azizan Baharuddin, Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, UM.
Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Ahli MPN merangkap Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Prof Dr Fatimah Kari, Profesor Kehormat Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan (CPDS), UM; dan Dr Shankaran Nambiar, Felo Penyelidik Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER).
Ahli Bersekutu yang dilantik pula dalam kalangan pemimpin muda seperti Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif, ASEAN Youth Network (AYN) dan Cik Siti Aishah Hassan Hasri, Pengasas, SPOT Community Project Malaysia, di samping personaliti media popular iaitu Ketua Pengarang Astro Awani, Encik Ashwad Ismail dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Mohd Ismail Adnan.
MASA merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu yang telah dilantik.
Semoga pelantikan mereka dapat membantu MASA dalam menjalankan fungsinya dan mempromosikan nilai
kemakmuran bersama.
Senarai penuh Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu boleh dilayari di laman web Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di alamat institutmasa.com.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)