Masa depan Malaysia untuk semua, titah Sultan Nazrin

Bernama
Julai 17, 2018 11:15 MYT
Sultan Nazrin berkata tiada siapa harus dipinggirkan dalam proses demokrasi ini termasuk mereka yang mungkin tidak bersetuju, titah baginda. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah tiada siapa patut diketepikan dalam perjalanan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah demokrasi matang agar setaraf dengan masyarakat dunia demokrasi maju yang lain.
Tiada siapa harus dipinggirkan dalam proses demokrasi ini termasuk mereka yang mungkin tidak bersetuju, titah baginda.
"Setiap orang di bumi Malaysia harus mengambil bahagian dan kita perlu melibatkan semua pemegang taruh negara dalam perjalanan bersejarah ini," titah baginda dalam ucaptama pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia Kelima (WCIT 2018), di sini.
Persidangan tiga hari bertemakan 'Melindungi Masa Depan' itu yang bermula semalam dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah serta menyaksikan penyertaan lebih 20 tokoh terkemuka tempatan dan antarabangsa.
Sultan Nazrin Shah bertitah Malaysia baru sahaja melalui Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan rakyatnya membawa perubahan politik yang besar dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menerusi peti undi.
"Bermula dari saat ini dalam sejarah negara kita yang masih muda, beta berharap rakyat Malaysia berasa mereka telah diperkasakan untuk membuat pernyataan dan mempengaruhi masa depan negara," katanya.
Sultan Perak bertitah banyak yang perlu dilakukan bagi membolehkan golongan muda menjadi pemacu perubahan, bagi memperkasakan mereka agar percaya masa depan adalah benar-benar milik mereka untuk diacu dan dibina.
"Kita sering kali bercakap tentang orang muda menjadi pemimpin dan pembuat dasar masa depan, namun beta cadangkan agar kita lakukan lebih banyak lagi untuk menjadikan golongan muda berasa mereka dirujuk dan dilibatkan secara aktif dalam proses membuat keputusan hari ini," titah baginda.
Sultan Perak turut bertitah bahawa menafikan kuasa belia, ketidaktentuan kewangan, pergolakan politik dan pemanasan global hanya sebahagian daripada isu besar yang harus ditangani secepat mungkin jika mahukan dunia mempunyai masa depan.
"Masa depan adalah tanggungjawab kita bersama dan jika kita memikul tanggungjawab itu, beta percaya masa depan itu sendiri akan menjadi ganjaran kepada kita pada kehidupan ini dan seterusnya," titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah baginda percaya Islam mempunyai banyak untuk ditawarkan kepada dunia dalam menangani cabaran terbesar masa depan manusia terutama dari segi ekonomi dan alam sekitar.
"Walaupun beta membuka persidangan ini dengan kenyataan yang serius, beta datang ke sini hari ini membawa pesanan yang mengandungi harapan dan rasa positif, satu gesaan untuk bertindak. Beta datang ke sini untuk memberitahu anda, menggesa anda agar percaya masa depan adalah milik kita.
"Masa depan adalah hak kita untuk dijaga, dibentuk dan beta harap juga untuk dinikmati. Masa depan adalah milik kita. Ia satu penegasan yang ringkas dan mudah," titahnya.
-- BERNAMA
#ekonomi #Ipoh #Islam #Malaysia #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #rakyat Malaysia #Sultan Azlan Shah #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak
;