Masa depan 303 pekerja kontrak ISN ditentu dalam mesyuarat tengah hari ini?
Astro Awani
Disember 3, 2018 11:30 MYT
Disember 3, 2018 11:30 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijadual bermesyuarat tengah hari ini susulan laporan 303 kontrak kakitangan Institut Sukan Negara (ISN) yang tidak disambung.
Unit Komunikasi Korporat KBS juga dijangka mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai isu ini selepas selesai mesyuarat berkenaan.
Berita Harian pada Jumaat melaporkan semua 303 kakitangan terbabit hanya dimaklumkan mengenai kedudukan mereka sebulan sebelum tarikh akhir kontrak ditamatkan.
Menerusi surat yang diterima, kontrak perkhidmatan mereka akan tamat pada 31 Disember 2018 sementara pihak ISN pula memaklumkan tidak dapat memastikan sama ada kontrak itu akan disambung atau tidak pada tahun hadapan.
Surat itu menyebut kedudukan mereka tertakluk kepada situasi kewangan ISN dan bergantung kepada penstrukturan semula program latihan atlet yang akan diselaraskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) nanti.
Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mengesahkan Program Podium bakal melalui proses penstrukturan semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya Majlis Sukan Negara (MSN), berkuat kuasa awal tahun depan.
Menurutnya, program baharu itu menggunakan pendekatan sistem berperingkat (tiering system) iaitu fleksibiliti dalam pemilihan atlet serta pelaksanaan program dapat dibuat secara efisien dan penetapan sasaran lebih mudah dilaksanakan.
Sementara Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan pengurusan Program Podium akan diselaraskan semula di bawah MSN dengan turut melibatkan program Kita Juara dan program atlet pelapis.
Ahmad Shapawi turut mengesahkan kontrak atlet yang ada ketika ini akan dikekalkan sehingga penghujung tahun ini oleh ISN dan MSN pula akan melihat semula kontrak tersebut mengikut sistem berperingkat yang telah ditetapkan bermula tahun hadapan.