MAS tidak profesional sasarkan Nufam dalam pemberhentian kerja - Nufam

T K Letchumy Tamboo
Jun 1, 2015 20:58 MYT
Nufam berkata ia menjadi sasaran MAS untuk diberhentikan kerja, ekoran lantang bersuara mengenai penstrukturan semula syarikat penerbangan itu.
Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mendakwa ia menjadi sasaran Malaysia Airlines (MAS) untuk diberhentikan kerja, ekoran lantang bersuara mengenai penstrukturan semula syarikat penerbangan itu.
Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata perkara ini jelas dilihat melalui surat pemberhentian kerja yang diterima oleh tiga exconya, pada Isnin.
“Saya dimaklumkan oleh sumber-sumber yang dekat dengan MAS bahawa Nufam menjadi sasaran MAS kerana kami lantang bersuara.
“Ini seperti MAS sudah mengambil perkara ini sebagai isu peribadi. Ini menunjukkan MAS tidak bersikap professional.
“Kalau MAS rasa exco Nufam adalah penghalang bagi mereka, mereka harus berbincang dengan kami,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ismail berkata Nufam tidak akan berdiam diri dan bakal membawa isu tersebut ke Kementerian Sumber Manusia.
“Kami akan bangkitkan isu ini kepada Kementerian Sumber Manusia. Kami juga akan bangkitkan isu pemberhentian kerja,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS NewCo Christoph Mueller hari ini mengesahkan bahawa seramai 6,000 petugas MAS tidak akan menerima surat tawaran bagi berkhidmat dengan syarikat baharu.
Daripada 20,000 surat pemberhentian tugas yang telah dikeluarkan, hanya 14,000 daripadanya yang akan menerima tawaran kerja di syarikat baharu di bawah nama MAS NewCo yang diterajui Mueller.
#Ismail Nasaruddin #MAS #NUFAM #pemberhentian kerja
;