MAS perjelas kekeliruan tentang laporan pakej pemberhentian kakitangan
Astro Awani
Jun 8, 2015 20:00 MYT
Jun 8, 2015 20:00 MYT
Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airline System (MASEU) dan kakitangan Malaysia Airlines (MAS) telah dijelaskan mengenai pakej pemberhentian yang merangkumi pembayaran penuh seperti yang tertera dalam Perjanjian Bersama (CA).
Perkara itu dijelaskan pihak Malaysia Airlines System Berhad hari ini melalui satu kenyataan media, bagi memperbetulkan sebuah artikel siaran The Edge Financial Daily bertarikh 22 Jun 2015 yang memetik kata Setiausaha Agung MASEU, Jeneral Abdul Malek Ariff.
“Kami mahu menyatakan bahawa komen dalam artikel berkenaan oleh Abdul Malek mengenai pakej pemberhentian adalah salah dan mengelirukan,” ujar kenyataan tersebut.
Akhbar itu menyatakan Abdul Malek memberitahu bahawa selain daripada pembayaran pemberhentian itu mengikut formula mirip CA yang sedia ada, kakitangan MAS yang diberhentikan juga “layak menerima pembayaran ex-gratia”.
“Ini tidak benar dan mengelirukan kerana MASEU dan kakitangan MAS telah dijelaskan tentang pakej pemberhentian yang merangkumi pembayaran penuh seperti yang tertera dalam Perjanjian Bersama (CA).
“Pembayaran penuh ini merangkumi Bayaran Asas yang diberikan kepada semua kakitangan MAS, dan Bayaran Ex-Gratia yang disediakan secara sukarela oleh MAS dan pemegang saham kepada kakitangan MAS yang diberhentikan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, pertimbangan tambahan telah diberikan untuk kebajikan kakitangan yang diberhentikan. Itu termasuk faedah perubatan yang dipanjangkan selama setahun, pembayaran bagi hari cuti yang tidak digunakan, dan tambahan 30 peratus bayaran pemberhentian bagi kakitangan dengan kekurangan fizikal, ibu bapa tunggal dan pasangan berkahwin yang kedua-duanya diberhentikan.
“Kakitangan yang berhenti juga mempunyai akses percuma kepada perkhidmatan latihan dan penempatan yang disediakan Pusat Pembangunan Korporat yang ketika ini menyaksikan pendaftaran seramai 1,000 orang,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, pakej pemberhentian telah dibuat dengan teliti selepas menjalani proses rundingan bagi memastikan ia sesuai dengan tujuan penstrukturan semula selain ia telus serta adil.
“Kami kesal dengan laporan yang tidak tepat dan berharap semua pihak lebih bertanggungjawab serta lebih teliti,” kata kenyataan itu lagi.