MAS nafi pesawat MH149 buat pendaratan cemas di Perth
Astro Awani
Oktober 8, 2018 15:36 MYT
Oktober 8, 2018 15:36 MYT
Malaysia Airlines menafikan penerbangan MH149 dari Kuala Lumpur ke Melbourne terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Perth seperti yang dilaporkan sebuah portal berita antarabangsa hari ini.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata penerbangan berkenaan telah berlepas mengikut jadual dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10.25 malam Ahad dan mendarat di Lapangan Terbang Perth pada jam 4.04 pagi tadi sebelum dibenarkan untuk berlepas ke Melbourne kira-kira dua jam kemudian.
Pesawat MH149 tiba di Lapangan Terbang Melbourne kira-kira jam 12.28 (waktu tempatan).
Menurut MAS, kru penerbangan MH149 berjaya memberikan bantuan rawatan ke atas salah seorang penumpang pesawat itu dan turut membuat panggilan ke Perth untuk penumpang tersebut menerima rawatan secepat mungkin.
Penumpang itu telah dihantar ke hospital berdekatan sejurus selepas pesawat mendarat di Perth, menurut MAS dalam kenyataan itu lagi.