MAS mohon maaf pada Mohamad Sabu
Astro Awani
Jun 25, 2019 15:59 MYT
Jun 25, 2019 15:59 MYT
SYARIKAT penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) memohon maaf kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di atas kelewatan penerbangan tempoh hari.
Dalam masa sama, MAS kesal dengan kelewatan berkenaan yang disebabkan oleh masalah teknikal sehingga menyebabkan Mohamad terlepas temu janji penting dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di London, United Kingdom (UK).
“Malaysia Airlines memohon maaf atas kesulitan yang menyebabkan kelewatan jadual asal penumpang, termasuk Menteri Pertahanan.
“Kami membuat pengaturan penerbangan alternatif untuk rombongan menteri terbabit ke Perancis dalam rangka lawatan kerja di sana.
“Pihak kami menyedari temujanji menteri terbabit, namun ia satu keperluan bagi memastikan pesawat berkenaan selamat terbang sebagai faktor keselamatan penting setiap masa,” kata kenyataan itu lagi.
Mohamad dan pegawai Kementerian Pertahanan sepatutnya menaiki pesawat MH0002 Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke London pada malam 15 Jun tetapi pesawat itu tertangguh selama dua jam dan 30 minit.
Beliau sepatutnya singgah di London untuk bertemu Dr Mahathir namun terpaksa membatalkannya ekoran kelewatan itu.
Kementerian Petahanan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kelewatan penerbangan berkenaan menyebabkan beliau terlepas temujanji penting dengan Dr Mahathir yang ketika itu berada di UK atas lawatan kerja.
“Kesulitan ini amat dikesali dan diharapkan pihak Malaysia Airlines tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Mohamad Sabu berkata, MAS tidak perlu memohon maaf dan akan terus menyokong penerbangan negara.
#kelewatan
#Kuala Lumpur
#lawatan kerja
#London
#Maaf
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Airlines
#masalah teknikal
#Mohamad Sabu
#penerbangan
#temu janji penting