MAS dan MAB adakan upacara tertutup memperingati MH370
Astro Awani
Mac 8, 2016 21:35 MYT
Mac 8, 2016 21:35 MYT
SEPANG: Malaysia Airlines Berhad bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini mengadakan upacara tertutup memperingati MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia dihadiri oleh ahli keluarga kepada 13 anak kapal dan seluruh kakitangan kedua-dua syarikat.
Pengerusi MAB, Tan Sri Md Nor Yusof mengetuai upacara yang dimulakan dengan bacaan doa, takafur selama satu minit dan disusuli video penghargaan untuk bekas kakitangan.
Turut bersama hadirin adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Christoph Mueller.
MAS menerusi kenyataan pada Selasa merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan penyiasat atas segala usaha merungkai misteri kehilangan pesawat Boeing 777 itu susulan kenyataan interim yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) hari ini.
MAS juga menyatakan komitmen mereka untuk terus mengekalkan hubungan dengan waris mangsa dan memaklumkan mereka perkembangan terkini proses mencari pesawat MH370, pada masa sama terus mendoakan kesejahteraan kepada setiap yang terlibat dalam insiden itu.