MAS, AirAsia batal penerbangan keluar, masuk Bali susulan letusan gunung berapi

Astro Awani
Julai 10, 2015 15:53 MYT
MAS dan AirAsia mengumumkan pembatalan kesemua penerbangan keluar masuk bagi Denpasar, Bali susulan letusan gunung berapi Raung di Indonesia.
Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia hari ini mengumumkan pembatalan kesemua penerbangan keluar dan masuk bagi Denpasar, Bali di Indonesia.
Ia berikutan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai akibat debu gunung berapi Raung di Jawa Timur, lapor Bernama.
Bagi AirAsia, ia turut membabitkan penerbangan bagi Lombok.
Pihak MAS di laman web rasminya mengumumkan akan terus memantau keadaan dan memaklumkan perkembangan semasa.
"Para pelanggan diminta merujuk status penerbangan masing-masing di www.malaysiaairlines.com atau telefon 1300-88-3000 sebelum ke lapangan terbang.
"Aspek keselamatan sememangnya menjadi satu keutamaan untuk Malaysia Airlines," katanya sepertimana dilapor Bernama.
Menurut laporan berita, lapangan terbang lain yang turut ditutup termasuk di Jember dan Banyuwangi atas sebab yang sama.
Sementara itu, di Indonesia, syarikat penerbangan Garuda turut membatalkan buat sementara waktu laluan penerbangan dari Bali susulan letusan Gunung Raung di Jawa Timur.
Pembatalan melibatkan lebih 20 penerbangan, antaranya laluan antarabangsa seperti Denpasar-Melbourne, Denpasar-Seoul, Denpasar-Tokyo dan laluan domestik seperti Denpasar-Lombok.
Jurucakap Garuda memaklumkan syarikat akan terus memantau situasi dan perkembangan berkaitan dengan aktiviti Gunung Raung.
Laluan penerbangan akan kembali beroperasi selepas situasi stabil.
Laluan penerbangan melintasi Gunung Ruang merupakan antara yang paling sibuk di dunia.
Larangan dikuat kuasa bagi mengelak letusan asap mengganggu operasi pesawat.
Aktiviti Gunung Ruang dilaporkan mula meningkat sejak 21 Jun lalu dan gunung itu mula meletus sejak 4 Julai lalu.
#Garuda #gunung Raung #penerbangan #pesawat
;