Martabat industri kraf: Kelantan Exchange 2021 dianjurkan 11 hingga 13 Nov
Bernama
Oktober 26, 2021 10:30 MYT
Oktober 26, 2021 10:30 MYT
KOTA BHARU: Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) akan menganjurkan Kelantan Exchange 2021 pada 11 hingga 13 Nov ini dalam usahanya untuk memartabatkan industri kraf serta artisan tempatan.
Presiden MCC Nik Faiz Nik Mohd Amin berkata acara seni yang bertujuan untuk memelihara warisan budaya itu akan berlangsung di Hotel Grand Renai di sini, dengan membabitkan penyertaan seramai 50 artisan tempatan.
Beliau berkata pelbagai aktiviti antaranya bazar, bengkel seni dan kraf diadakan selain persembahan kebudayaan seperti Mak Yong yang dibarisi Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rosnan Abdul Rahman bersama-sama selebriti Arja Lee yang bakal mewarnai acara seni itu.
Katanya, acara berkenaan turut menganjurkan tiga sesi dialog antaranya bertajuk 'Seni Melalui Perspektif Islam' yang disertai pendakwah bebas terkenal Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman.
"Kelantan dipilih kerana ia merupakan salah satu negeri pendukung budaya Melayu malah antara negeri yang mempunyai hasil seni kraf tempatan terbanyak. Maka, negeri ini adalah pilihan tepat sebagai 'titik permulaan' sebelum ia diperluaskan ke negeri lain," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Nik Faiz berkata pihaknya menyasarkan seramai 500 orang sehari akan menyertai acara berkenaan untuk mempelajari seni kraf serta budaya secara lebih mendalam.
"Kraf kita sangat fleksibel dan memiliki potensi amat luas untuk inovasi, penyesuaian semula, serta pemindahan ilmu atau penciptaan 'fusion' melalui penggabungan antara budaya.
"Sebab itulah kami sangat teruja dengan acara Kelantan Exchange 2021 kerana pengunjung dapat menikmati pengalaman belajar, terlibat bersama dalam pelbagai aktiviti menyeronokkan dan memahami potensi kepelbagaian fungsi kraf tempatan," katanya.
Kelantan Exchange 2021 turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk badan bukan kerajaan antaranya JKKN, Tourism Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Yayasan Hasanah.
"Acara ini juga ada penglibatan pelbagai agensi antaranya Yayasan Jepun yang akan berkongsi ilmu tentang budaya dan kraf mereka," katanya sambil menambah untuk jualan tiket atau meja bagi program makan malam boleh terus hubungi talian MCC di 0199385858.
-- BERNAMA