Martabat bahasa Melayu: Draf pindaan Akta DBP siap, harap dibentang di Parlimen secepat mungkin
Hasimi Muhamad
September 28, 2022 14:33 MYT
September 28, 2022 14:33 MYT
BANGI: Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan mengangkatnya ke peringkat antarabangsa diharap dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Awang Sariyan berkata, draf pindaan akta tersebut telah pun disiapkan dan menunggu dibawa oleh Kementerian Pendidikan (KPM) ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, draf pindaan turut diserahkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa minggu lalu dan beliau yakin dengan komitmen Perdana Menteri untuk mempercepatkan proses pembentangan pindaan Akta DBP.
"Andai kata tiada halangan, maka draf itu akan dikemukakan sebagai Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen untuk dibahaskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Kita berharap akan berjaya kerana ini peningkatan yang sangat tepat kerana pada tahun 1959, akta itu hanya berkisar tentang penubuhan DBP sebagai badan berkanun.
"Ia tidak ada kuasa pelesenan, pengantarabangsaan, penarafan atau pengiktarafan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
DBP sebelum ini mengemukakan tiga perkata utama dalam pindaan tersebut iaitu membabitkan pemberian kuasa penguatkuasaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 152(6) yang memperuntuk penggunaannya dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
Kedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walaupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia.
Sementara ketiga, berkaitan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan agensi itu dapat digerakkan dengan lebih berkesan sekali gus menyumbang dalam aspek kewangan negara.
Mengulas lanjut, Awang berkata, dari aspek pelesenannya misalnya, DBP berharap bahan-bahan bahasa sastera dan ilmu dalam ratusan bidang akan dapat dialihkan dalam bentuk animasi multimedia bagi mempercepatkan penyampaian warisan negara ke seluruh dunia.
Bagaimanapun, Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM menambah, banyak lagi langkah yang perlu dibuat untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
Ia katanya termasuk melaksanakan secara konsisten Program Diplomasi Kebudayaan di bawah Kerangka Dasar Luar baharu yang digerakkan oleh Kementerian Luar dengan sokongan DBP dan universiti tempatan.
Tegasnya, bahasa Melayu mempunyai potensi yang cukup besar kerana kajian berhubung budaya sastera dan budaya Melayu telah mula dijalankan sejak awal abad ke-17.
Malah, kata Awang, usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa turut terserlah dengan komitmen Perdana Menteri yang berucap dalam bahasa Melayu buat pertama kali di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Jelas beliau, kesungguhan Perdana Menteri itu telah melonjakkan lagi kedudukan bahasa Melayu di mata dunia.
"Dengan lonjakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, bahasa Melayu jauh lebih gemilang kerana berada di pentas Perhimpunan Agung PBB, disaksikan oleh ratusan negara anggota PBB.
"Ini pada saya rekod sejarah kerana inilah kali pertama Perdana Menteri dalam sejarah 65 tahun negara menjadi anggota PBB dan 65 tahun kemerdekaan, inilah kali pertama sejarah telah dirakam dengan tinta emas oleh Perdana Menteri.
"Kita Insya-Allah malam esok akan menyambut kepulangan Perdana Menteri dengan menghimpunkan sejumlah besar pegawai DBP dan pejuang-pejuang bahasa dan kebangsaan untuk meraikan kepulangan Perdana Menteri, yang saya istilah sebagai adiwira negara," ujarnya lagi.
#Pindaan Akta DBP
#Bahasa Melayu antarabangsa
#Ismail Sabri berucap di PBB
#Martabatkan bahasa Melayu