Marshal maraton masih terlantar tiga bulan selepas kemalangan
Bernama
Mac 11, 2019 21:05 MYT
Mac 11, 2019 21:05 MYT
Lee Foo Beng, 51, seorang marshall acara marathon yang pernah menjadi tajuk utama berita selepas cedera parah dilanggar kereta semasa acara sukan itu Disember lepas masih terlantar di rumahnya sejak kejadian itu.
Abangnya Foo Ngan, 65, berkata keadaan adiknya itu tidak banyak berubah semenjak dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang dan perlu dibantu dari segi pergerakan dan urusan sehariannya.
"Sehari selepas kemalangan itu, Foo Beng terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang darah beku dari otaknya dan kesan dari kemalangan itu, kedua belah kakinya tidak dapat bergerak seperti biasa," katanya ketika ditemui di sini.
Foo Ngan ditemui ketika mewakili Foo Beng semasa menerima sumbangan kira-kira RM20,888 yang dikumpulkan oleh Persatuan Keselamatan Sukarela Pulau Pinang dan rakan-rakan Foo Beng di sini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh turut hadir di majlis itu.
Foo Ngan yang bekerja sebagai buruh yang diupah harian, menghargai sumbangan itu yang diharapnya akan dapat meringankan lagi beban kewangan keluarganya sejak kemalangan yang menimpa Foo Beng pada 9 Dis lepas.
"Sejak keluar dari hospital 14 Jan lalu, Foo Beng kini tidak mampu berbuat apa-apa dan urusan penjagaan kini ditanggung oleh saya dan adik perempuan saya. Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat mengurangkan beban kami yang perlu berulang alik ke hospital serta membeli ubatan yang lain," katanya.
Foo Beng mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta semasa beliau sedang mengiringi pelumba-pelumba yang mengambil bahagian dalam satu acara marathon, 'PAAA Annual Round The Island Relay'.
-- BERNAMA
#kebajikan
#kemalangan
#mangsa kemalangan
#maraton
#marshal maraton
#penang island relay
#pulau pinang
#tahap kesihatan