Marquez sasar penyudah podium di Sepang

Bernama
November 1, 2018 06:28 MYT
Marc Marquez (kanan) pada sidang media di Litar Antarabangsa Sepang, 1 Nov, 2018. Turut bersama, Andrea Dovizioso (kiri). --fotoBERNAMA
Juara dunia MotoGP 2018, Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda Team menyasarkan penyudah podium dengan menjuarai Grand Prix Motosikal Malaysia pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Selepas meraih kemenangan menakjubkan di GP Jepun bulan lepas untuk menjulang gelaran kelima Kejohanan MotoGP Dunia, pelumba Sepanyol berusia 25 tahun itu tidak sabar untuk menambah koleksi podium di litar yang beliau dan Honda harungi ujian pramusim dengan penuh lancar.
"Kami akan cuba teruskan rentak sama... di Phillip Island kami bergelut sedikit dalam perlumbaan ketika itu, kini kami dalam keadaan bagus jadi kami akan cuba teruskan prestasi baik kami di sini.
"Pramusim di sini adalah baik.., rentak perlumbaan... tetapi sekarang ini benar-benar berbeza. Motosikal berbeza dan 'setups' berbeza, jadi kami lupakan tentang itu dan akan fokus pada hujung minggu ini. Kami akan bermula dari FP1 dan akan cuba berusaha keras dan kami akan lihat jika kami boleh catat kemenangan podium, lima terbaik atau juara," katanya pada sidang media pra-acara itu di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Andrea Dovizioso daripada pasukan Ducati yang mencatatkan mata maksimum pada edisi 2016 dan 2017 di Litar Sepang begitu teruja untuk menyaksikan persembahan pasukannya dalam perlumbaan di litar kering berikutan dua kemenangannya diraih dalam keadaan litar basah.
"Trek ini baik untuk saya tetapi di masa lalu, jika kita lihat pada keputusannya, kami tidak mencatatkan banyak keputusan baik dalam cuaca kering. Dua tahun lepas kami menang di litar yang basah tetapi pasti menarik untuk melihat pecutan kami dalam cuaca kering," kata pelumba memakai nombor '04' itu.
Dengan berbaki dua perlumbaan termasuk GP Malaysia hujung minggu ini dan GP Valencia minggu depan, Dovizioso yang kini di tangga kedua dalam kedudukan keseluruhan dengan 210 mata dijangka bakal melakukan yang terbaik berikutan Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi hanya 15 mata di belakangnya.
-- BERNAMA
#Andrea Dovizioso #Ducati #gp malaysia #marc marquez #MotoGP #motosikal #Repsol Honda Team #Sepang #SIC
;