Markas sindiket perjudian dalam talian diserbu, 11 individu ditahan

Astro Awani
April 21, 2021 12:13 MYT
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 100 telefon bimbit serta 17 komputer riba. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Taktik sindiket perjudian atas talian menyewa sebuah kondominium mewah yang dijadikan sebagai pusat operasi dan panggilan terbongkar apabila diserbu polis tengah malam tadi.
11 individu termasuk dua wanita tempatan dan seorang wanita warga China ditahan dalam serbuan oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di kondominium di Jalan Tun Razak dalam operasi pada jam 12 tengah malam.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Nasri Mansor, sindiket berkenaan dipercayai mempromosikan judi dalam talian kepada warganegara China.
"Pusat berkenaan didapati beroperasi sejak dua bulan lalu dan mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sehari.
"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 100 telefon bimbit serta 17 komputer riba," katanya.
Nasri berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 38 tahun telah dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.
#sindiket #perjudian #kondominium #pusat operasi #panggilan
;