Markas panggilan sindiket judi dalam talian di banglo Puchong tumpas

Astro Awani
April 17, 2020 06:10 MYT
Satu sindiket perjudian dalam talian antarabangsa yang beroperasi di unit banglo, di sini, tumpas dalam serbuan polis petang semalam. -Astro AWANI
Satu sindiket perjudian dalam talian antarabangsa yang beroperasi di unit banglo, di sini, tumpas dalam serbuan polis petang semalam.
Sindiket didalangi warga China yang aktif beroperasi di tiga unit kediaman di kawasan perumahan Batu 14 itu dipercayai mengaut untung bulanan mencecah RM10 juta.
Operasi judi dalam talian (JOL) yang dilakukan Unit Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman berjaya memberkas 54 warga China termasuk empat wanita.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata ketika serbuan jam 3.30 petang, kesemua mereka sedang ligat memancing pelanggan.
Premis tiga tingkat yang dijadikan markas panggilan itu ditutup rapat dan dikawal menggunakan kamera litar tertutup CCTV.
Siasatan mendapati sindiket disyaki mengurus, menganjur dan mempromosikan aktiviti perjudian jenis Canada 28 dan Beijing 28 secara dalam talian.
Mereka mempromosikan permainan ini kepada pelanggan dari negara China melalui aplikasi WeChat.
Sindiket berusaha memujuk pelanggannya dengan mendakwa permainan terbabit senang dimainkan dan peluang untuk menang adalah tinggi.
Dalam mesej terbabit turut disertakan kod QR bagi pelanggan mencuba nasib.
"Sindiket yang berpusat di Malaysia ini menggunakan aplikasi WeChat untuk jemput atau beri tawaran kepada pelanggan di China.
"Keuntungan sindiket ini dianggarkan lebih kurang RM320,000 sehari. Bayangkanlah dah hampir tiga bulan berapa juta yang telah diraih sindiket perjudian ini," kata Huzir.
Katanya lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan kedutaan dan bagi memastikan suspek diambil tindakan lanjut setelah selesai menjalani hukuman di sini.
"Kita perlu laksanakan dengan lebih keras lagi supaya mereka tidak menggunakan Malaysia sebagai hab untuk menganjurkan judi secara dalam talian kepada rakyat negara China di sama," kata Huzir.
Dalam serbuan itu, polis merampas 60 set komputer, 313 unit telefon bimbit, enam modem dan tujuh router.
Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 54 akan melalui proses saringan kesihatan sebelum ditahan di lokap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
#Beijing 28 #Canada 28 #D7 #Huzir Mohamed #JOL #jsj #judi dalam talian #Judi Online #unit banglo
;