Markas ATB2 patahkan cubaan seludup petrol di perairan Pulau Ligitan
Ridzal Abdullah
November 17, 2020 18:52 MYT
November 17, 2020 18:52 MYT
SEMPORNA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB2) berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan minyak petrol di kawasan perairan Pulau Ligitan, di sini.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Johari Mohd Jaafar berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu dua buah bot kumpit dan sebuah kapal tangki terbabit telah berjaya dipintas anggotanya dan diperiksa.
Penahanan itu susulan maklumat dan pengesanan pergerakan mencurigakan kesemua suspek melalui Radar CSS, di Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB), sebelum berjaya dipintas.
"Sepasukan anggota "Quick Reaction Force" (QRF) yang diatur gerak ke lokasi kejadian bertindak menahan 12 awak-awak warga asing dan lima kru kapal tangki warga tempatan masing-masing berumur antara 20 hingga 54 tahun.
"Ketika ditahan semua suspek terbabit sedang leka memindahkan bahan kawalan bersubsidi itu dari kapal tangki ke dalam tong minyak di atas kedua-dua bot kumpit berkenaan," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua bot kumpit terbabit dipercayai sedang memindahkan kira-kira 123,000 liter minyak petrol dari kapal tangki berkenaan.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati bot kumpit pertama hanya sempat memindahkan kira-kira 3,600 liter (18 tong) manakala bot kumpit kedua pula sebanyak 46,600 liter (233 tong) dengan kapasiti setiap tong sebanyak 200 liter," katanya.
Menurutnya, kesemua barang rampasan termasuk dua bot kumpit dan kapal tangki dianggarkan berjumlah RM1,185,324.00.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 31(1) Akta Polis 1967 kerana kesalahan melanggar Perintah Berkurung," katanya.
#Angkatan Tentera Malaysia
#petrol
#Malaysia
#perintah berkurung
#warga asing
#ATM
#seludup minyak
#seludup petrol
#Pulau Ligitan
#Markas ATB2