Maritim tingkat rondaan pantau perairan pada musim perayaan

Shuhada Abdul Kadir
April 14, 2022 05:45 MYT
Kawalan lebih ketat akan ditumpukan di perairan Sabah, Labuan dan Sarawak apabila hampir 1,000 pegawai serta anggota Maritim ditugaskan di kawasan terbabit. - Astro AWANI
KUALA LINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akan mempertingkatkan rondaan dan operasi menerusi Op Khas Pagar Laut, bagi mengawal jenayah rentas sempadan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Ketua pengarahnya, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, seramai 2,500 pegawai dan anggota akan digerakkan dalam operasi khas yang akan bermula pada 19 April ini.
Beliau berkata, kawalan lebih ketat akan ditumpukan di perairan Sabah, Labuan dan Sarawak apabila hampir 1,000 pegawai serta anggota Maritim ditugaskan di kawasan terbabit.
Jelasnya, pihaknya menjangkakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penjenayah rentas sempadan lain akan mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti itu ketika musim perayaan.
"Bagi APMM, kita setiap kali musim perayaan kita akan melaksanakan Op Khas, kali ini kita akan melakukan Op Pagar Laut yang mana akan dilancarkan pada 19 April di setiap negeri.
"Kita fokuskan kepada semua pelabuhan jenayah di perairan. Kalau kita lihat misi Op Pagar kali ini tidak sama dengan misi misi lain, kalau kita lihat di belah utara, selatan lain, pantai barat lain. Kalau kita di utara lebih kepada isu penyeludupan PATI dan isu penyeludupan dadah juga, pantai barat isu kemasukan PATI, dadah, penyeludupan barang-barang tanpa cukai. Kalau pergi bahagian pantai timur, percubaan pelayaran asing," katanya.
Selain memerangi jenayah rentas sempadan, jelasnya, Op Pagar Laut turut mengawasi keselamatan kapal dagang di perairan negara.
Mengulas isu cuti Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan anggotanya, kata beliau, tiada pembekuan dilakukan pada tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 50 peratus anggotanya akan bertugas secara bergilir sepanjang musim perayaan ini.
Dalam pada itu tambahnya, terdapat peningkatan tangkapan terhadap penjenayah rentas sempadan pada tahun ini berbanding tahun lalu.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, ujarnya, sebanyak 257 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan lebih RM49.2 juta berbanding 21 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.
Tangkapan itu katanya, membabitkan PATI, penyeludupan dadah dan ketum, kontraband serta barangan kawalan bersubsidi.
#rondaan #maritim #Aidilfitri
;