Maritim Selangor gagalkan cubaan seludup keluar pendatang

Bernama
September 11, 2024 23:56 MYT
Abdul Muhaimin berkata dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi tadi, pihaknya menerima maklumat daripada ACC Klang berhubung satu sasaran mencurigakan dikesan bergerak laju di perairan tersebut. - Gambar FB Maritim Malaysia
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar pendatang di sekitar perairan Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi tadi, pihaknya menerima maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang berhubung satu sasaran mencurigakan dikesan bergerak laju di perairan tersebut.
Beliau berkata bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan operasinya menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dan seterusnya bertindak mengejar suspek yang berlanjutan kira-kira 35 minit.
"Dalam cubaan bot suspek meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin, sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa pendatang lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan.
"Bot suspek berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berada di atas bot," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata hasil soal siasat ke atas kedua-dua wanita itu, terdapat kira-kira 20 penumpang lain yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara asal, telah melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum pelanggaran berlaku.
Beliau berkata bot fiber itu serta dua suspek terbabit telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia, selain kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
-- BERNAMA
#Akta Imigresen #Maritim Malaysia #soal siasat #negara asal
;