Maritim rampas 52 bubu naga, tahan dua warga asing
Sinar Harian
Februari 5, 2023 07:30 MYT
Februari 5, 2023 07:30 MYT
PARIT BUNTAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 52 bubu naga bernilai RM3,640 di kedudukan 10.2 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau di sini pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, pihaknya mengesan bendera yang mencurigakan dan disyaki penanda kepada bubu naga semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sekitar jam 3.15 petang.
"Hasil pemeriksaan ke atas bendera itu menemukan sebanyak 52 unit bubu naga berada di kawasan terbabit.
"Kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Mohd Najhan berkata, sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda ditahan bersama dua kru warga Myanmar di kedudukan 12.9 batu nautika barat muara Kuala Terong pada Jumaat.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati kedua-dua kru berusia 27 dan 38 tahun tersebut tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Bot berkenaan bagaimanapun memiliki lesen yang sah tetapi tidak diusahakan sendiri pemiliknya. Sebanyak 100 kilogram udang kecil turut ditemukan ketika ditahan.
"Kru dan bot serta peralatan menangkap ikan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Mohd Najhan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya. -Sinar Harian