Maritim Pulau Pinang rampas 40 bubu naga bernilai hampir RM5,000

Astro Awani
Jun 9, 2022 12:52 MYT
Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan. - Foto APMM
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas 40 bubu naga di tiga lokasi di sekitar perairan negeri itu semalam.
Tangkapan dibuat menerusi Op Pertiwi /Op Benteng di 1.4 batu nautika perairan Pulau Burung, Seberang Perai Selatan sekitar jam 2.40 petang.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, semasa bot ronda KILAT 26 melaksanakan rondaan rutin, anggota penguat kuasa menemui beberapa pelampung yang mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan di tiga lokasi tersebut menemukan 40 set bubu naga yang bernilai hampir RM4,800.
"Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sementara itu, pihaknya menasihatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.
Abdul Razak berkata, pihaknya akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Untuk sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut, boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
#bubu naga #Maritim Malaysia #Seberang Perai #alam sekitar
;