Maritim Perak tahan kapal tangki Jerman berlabuh tanpa kebenaran
Amirrul Rabbani
Januari 12, 2022 12:16 MYT
Januari 12, 2022 12:16 MYT
LUMUT: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Jerman ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Jarak dekat sini, pada Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata kapal tangki sepanjang 171.20 meter itu ditahan di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak, kira-kira jam 11.15 pagi.
Katanya, kapal berkenaan didapati berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Menurutnya, kapal tersebut dikendalikan seorang nakhoda dan dibantu 18 kru yang terdiri daripada warga Rusia, Ukraine, Romania dan Filipina.
“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 28 hingga 63 tahun, dikesan berlabuh secara haram melalui cerapan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.
“Kapal tersebut ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah Seksyen 491B(1)(I).
“Jika didapati bersalah, hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Shahrizan berkata, sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan di perairan sama kerana menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari daratan.
Katanya, bot berkenaan ditahan di posisi 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak, kira-kira jam 5.40 petang pada hari sama.
“Bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama dua kru, warga Thailand dan Laos berumur lingkungan 36 hingga 51 tahun.
"Ia ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut,” ujarnya.