Maritim Perak tahan 6 nelayan warga Myanmar, 3 bot

Aida Aziz
Januari 6, 2024 07:30 MYT
Enam nelayan warga Myanmar bersama-sama tiga bot nelayan tempatan kelas B ditahan di kedudukan 10.15 hingga 10.63 batu nautika barat Kuala Sepetang, petang kelmarin.
PARIT BUNTAR: Enam nelayan warga Myanmar bersama-sama tiga bot nelayan tempatan kelas B ditahan di kedudukan 10.15 hingga 10.63 batu nautika barat Kuala Sepetang, petang kelmarin.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, kesemua mereka ditahan oleh Maritim Malaysia kerana melanggar syarat sah lesen.
Katanya, bot terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.
"Dalam rondaan itu, bot tersebut dirapati untuk pemeriksaan, hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga bot menemukan seramai enam nelayan warga Myanmar dan setiap bot mempunyai dua kru termasuk tekong.
"Kesemua mereka berumur antara 24 hingga 35 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati kesemua bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Najhan berkata, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Ujarnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.
Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919atau MERS 999 untuk tindakan
segera.
#Maritim Perak #nelayan Myanmar #Kuala Sepetang #langgar syarat sah lesen
;