Maritim Perak selamatkan lelaki terdampar di pantai

Aida Aziz
September 12, 2021 11:15 MYT
Lelaki warga tempatan berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan lemah dan separa sedar terbaring di atas batu. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
LUMUT: Seorang lelaki yang ditemui terdampar di sekitar perairan Teluk Dalam, Pulau Pangkor, di sini pada Sabtu diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak melalui misi "Medical Evacuation" (MEDEVAC).
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman, bot BENTENG 6 diatur gerak serta merta ke lokasi bagi melaksanakan misi menyelamat mangsa sejurus menerima aduan orang awam.
"Setiba di lokasi kejadian, telah menemui seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun dalam keadaan lemah dan separa sedar terbaring di atas batu.
"Kru BENTENG 6 bersama-sama komuniti nelayan setempat telah berusaha memberi bantuan kecemasan dengan menyelamatkan dan membawa mangsa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya lagi punca kejadian akan disiasat berikutan mangsa masih trauma dan lemah selain tidak dapat berkomunikasi.
Katanya Maritim Perak meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.
#lelaki #terdampar #Maritim Malaysia #Hospital Seri Manjung
;