Maritim Perak patahkan aktiviti curi benih kerang, bubu naga
Aida Aziz
Februari 3, 2024 07:30 MYT
Februari 3, 2024 07:30 MYT
LUMUT: Tindak tanduk mencurigakan dua individu berdekatan pesisiran pantai Tanjung Kepah, Lekir, di sini, pada lewat malam Jumaat lalu membongkar aktiviti mencuri benih kerang di sekitar perairan Perak.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup, operasi yang dijalankan itu merupakan hasil risikan dan intipan pihaknya berhubung sindiket tersebut.
Susulan itu, katanya, sebanyak 13 guni benih kerang dengan anggaran berat 390 kilogram dan bernilai hampir RM5,000 berjaya dirampas.
"Maritim Perak telah mengatur gerak aset laut berserta pasukan operasi ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan di lokasi berkenaan.
"Dua suspek bersama sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan dikesan berada di pesisiran pantai untuk mengambil benih kerang yang ditinggalkan.
"Namun, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, mereka bertindak melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Hambali berkata, kesemua guni putih berisi benih kerang telah dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Justeru itu katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan menjual benih kerang tanpa lesen.
Dalam perkembangan berasingan, ujarnya, sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang dirampas di kawasan Pulau Talang pada hari sama.
Katanya, bubu berukuran 10 meter panjang itu dikesan pasukan bot ronda Maritim Malaysia.
"Terdapat kain oren yang mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada sebatang pancang kayu beserta botol yang dijadikan pelampung dan disyaki penanda bubu naga di perairan berkenaan.
"Tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan pancang kayu itu dijadikan sebagai penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Ujarnya, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000 itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Selain itu katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.