Maritim Perak bantu kru kapal tangki cedera ke hospital
Aida Aziz
Ogos 14, 2021 15:02 MYT
Ogos 14, 2021 15:02 MYT
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah melaksanakan misi MEDEVAC awal pagi tadi bagi membantu membawa seorang kru kapal tangki yang tercedera setelah terjatuh ke dalam 'ballast tank'.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman, sejurus menerima laporan daripada ejen kapal tangki tersebut, bot Benteng diatur gerak serta-merta ke lokasi kecemasan di sekitar 31.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada jam 8.30 malam Jumaat bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.
"Bot Benteng Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian sekitar jam 3 pagi dan terus melaksanakan pemindahan mangsa dari kapal tangki ke bot untuk dibawa ke jeti Perikanan Kampung Acheh.
"Mangsa, warga India berumur lingkungan 21 tahun, patah tulang belakang dan cedera parah di bahagian kepala namun dilaporkan stabil.
"Pada jam 4.20 pagi, mangsa telah selamat tiba di jeti dan segera dibawa ke Hospital Pantai Seri Manjung Perak bagi tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru katanya, Maritim Perak meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737.
#maritim
#APMM
#Perak
#kru kapal
#mangsa cedera
#ballast tank
#sharizan raman
#Pulau Jarak
#kecemasan