Maritim P.Pinang tahan dua kapal dari Myanmar

Bernama
Mei 21, 2022 06:02 MYT
Kedua-dua nakhoda bersama dua kru kapal ditahan sebelum dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk siasatan lanjut. - Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan dua kapal 'barter trade' (perdagangan tukar barang) dari Myanmar kerana gagal mempamerkan dokumen kapal dan insurans ketika pemeriksaan dijalankan di perairan Pulau Pinang, pada Jumaat.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata kedua-dua kapal berdaftar di Yangon itu ditahan pada 6.50 petang dan 6.55 petang di kedudukan 0.8 batu nautika barat laut Pelabuhan Pulau Pinang.
"Kapal dengan tanda nama THITDI AUNG 3 dikendalikan sembilan kru, termasuk nakhoda manakala kapal DANA THIDI 9 dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda.
"Semua mereka warga Myanmar berusia 22 hingga 64 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua kapal itu membawa muatan kayu padauk dari Yangon ke Pelabuhan Pulau Pinang namun gagal mengemukakan dokumen bot dan insurans ketika diperiksa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kedua-dua nakhoda bersama dua kru kapal itu telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Beliau berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.
-- BERNAMA
#Myanmar #Maritim Pulau Pinang #kapal barter trade #pelabuhan pulau pinang
;