Maritim Negeri Selangor tahan bot bawa lebihan penumpang

Bernama
Julai 8, 2024 16:00 MYT
Bot penumpang itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.- Foto Maritim Negeri Selangor
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang pada sekitar 1 tengah hari di 0.3 batu nautika selatan Tanjung Harapan, dekat sini, semalam.
Pengarah Martim Negeri Selangor Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata bot penumpang itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.
"Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 45 orang penumpang yang melebihi had dibenarkan dan tidak memakai jaket keselamatan. Bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru, masing-masing warga tempatan berusia 19 dan 40 tahun.
"Nakhoda, kru dan bot ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan tindakan lanjut. Kesemua penumpang dibawa ke Jeti Pulau Ketam diiringi aset Maritim Malaysia," katanya.
Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan iaitu 11 orang dan tidak memakai jaket keselamatan.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Maritim Negeri Selangor #bot bawa lebihan penumpang #Tanjung Harapan #Pulau Ketam
;