Maritim Malaysia tumpaskan cubaan seludup 4.8 juta batang rokok

Hafizi Rosli
April 13, 2023 04:15 MYT
Pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama - Foto Maritim Malaysia
KUALA LINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan cubaan seludup sejumlah 4.8 juta batang rokok kretek pelbagai jenama di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor sempena Op Khas Pagar Laut pada Selasa.
Menurut Maritim Malaysia, hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mendapati sebuah bot pancung bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada jam 10.20 malam.
Jelas pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, suspek dilaporkan bertindak memecut laju untuk meloloskan diri dan berlaku kejar-mengejar.
Setelah menghampiri bot berkenaan, pihak Maritim Malaysia mendapati tekong dan awak-awak telah meninggalkan bot dan berjaya melarikan diri.
Pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama.
Pihaknya juga menganggarkan nilai keseluruhan rampasan rokok kretek termasuk bot pancung itu berjumlah sebanyak RM3.53 juta.
Kesemua rokok kretek berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara jiran Indonesia untuk dijual secara haram dalam negara ini.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #seludup #rokok #Selangor