Maritim Malaysia tahan tiga kru warga asing berhampiran Pulau Terong
Abd Razak Mohd Ali
Februari 14, 2022 09:48 MYT
Februari 14, 2022 09:48 MYT
KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan bersama tiga kru warga Myanmar berhampiran Pulau Terong, dekat sini pada Sabtu malam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, mereka ditahan di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Terong kira-kira jam 8.10 malam.
Menurutnya, tangkapan dilakukan bot Maritim Malaysia yang membuat rondaan rutin selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 24 hingga 29 tahun.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Sharenliza berkata, pemeriksaan turut menemukan 150 kilogram ikan campur.
Ekoran itu, katanya kesemua kru bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan campur dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.