Maritim Malaysia tahan bot tunda, tongkang
Sinar Harian
Oktober 17, 2021 08:00 MYT
Oktober 17, 2021 08:00 MYT
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot tunda dan dua tongkang kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insurans pada petang Jumaat.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kedua-dua bot tunda serta tongkang itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia pada jarak 0.3 batu nautika barat laut Sungai Pinang dan 1.1 batu nautika Pantai Bersih kira-kira jam 4.30 hingga 5.45 petang semasa melaksanakan Op Pertiwi.
Menurutnya, bot tunda berserta tongkang dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang kesemuanya berumur lingkungan 21 hingga 42 tahun.
Bot tunda kedua berserta tongkang pula dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang masing-masing berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun turut ditahan.
"Bot dan kesemua mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insurans semasa pemeriksaan dilakukan.
"Pemeriksaan ke atas kru warga asing yang ditahan mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Abd Razak berkata, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot serta kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada semua pemilik kapal serta nakhoda agar sentiasa mematuhi peraturan di laut dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja atau tidak melanggar undang-undang persekutuan yang sedia ada.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian 'hotline' Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.
*Berita asal di Sinar Harian