Maritim Malaysia tahan 4 nelayan Thailand, rampas 8 kg hasil tangkapan

Adie Sufian Zulkefli
Jun 15, 2022 17:54 MYT
Nelayan Thailand terbabit didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. - Gambar/ Maritim Malaysia
KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat nelayan Thailand yang menaiki dua bot tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai menceroboh perairan negara di barat daya Kuala Perlis pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pasukannya yang melakukan rondaan rutin telah mengesan bot terbabit melakukan aktiviti menarik pukat di perairan Kuala Perlis.
“Tangkapan pertama bot dilakukan pada kedudukan sekitar 5.2 batu nautika barat daya Kuala Perlis, pada jam 8.55 pagi melibatkan tekong dan kru warga Thailand, berusia 21 dan 48 tahun.
“Ketika diperiksa anggota penguat kuasa menemukan satu lambar pukat ketam dan sebuah tong ais berisi udang lipan serta ketam dianggarkan lebih kurang tiga kilogram di atas bot tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, tangkapan kedua dilakukan pada kedudukan kira-kira 6.1 batu nautika barat daya Kuala Perlis, pada jam 9.11 pagi melibatkan tekong dan kru warga Thailand, berusia 16 dan 33 tahun sedang menarik pukat.
"Pemeriksaan menemukan dua lambar pukat ketam dan sebuah tong berwarna biru berisi 10 liter minyak petrol dan dianggarkan lebih kurang lima kilogram udang lipan dan ketam di atas bot tersebut," katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Mohd Hashim berkata, semua mereka dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana tidak memiliki pas sah bagi memasuki Malaysia.
#nelayan thailand #nelayan asing #Kuala Perlis #Maritim Malaysia
;