Maritim Malaysia syor bot pemancing, nelayan guna PLB

Bernama
Februari 27, 2022 04:40 MYT
Maritim Malaysia mengesyorkan pemilik bot pancing dan nelayan menggunakan Pengesan Lokasi Individu (PLB) ketika berada di laut, bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka sekiranya berlaku kecemasan. -BERNAMA/ rj.my
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesyorkan pemilik bot pancing dan nelayan menggunakan Pengesan Lokasi Individu (PLB) ketika berada di laut, bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka sekiranya berlaku kecemasan.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata penggunaan alat itu, dilihat masih kurang dititikberatkan oleh komuniti laut di negara ini, walaupun ia sebenarnya mampu mengelakkan tragedi buruk berlaku.
"PLB ini boleh menentukan secara tepat lokasi sebenar kecemasan yang berlaku di laut. Kalau bot yang karam semalam menggunakan PLB ini, kita dapat menjimatkan masa untuk operasi pencarian.
"Walaupun bot karam dan sudah tenggelam tapi jika PLB itu masih berada pada tekong atau individu lain dalam bot itu, kita boleh mengesan dengan tepat kedudukan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, berbanding radio atau sistem penentu kedudukan global (GPS) yang bergantung kepada isyarat radio, PLB yang menggunakan sistem teknologi satelit dapat berfungsi lebih baik walaupun ketika cuaca buruk atau berada jauh dari daratan.
Mengulas lanjut mengenai kejadian bot karam yang membawa 18 penumpang dan kru di perairan Langkawi semalam, beliau berkata pihaknya bersyukur kejadian tersebut tidak berlaku jauh dari Langkawi.
BACA: 14 pemancing, 4 kru hilang, bot dikhuatiri karam di perairan Langkawi
BACA: 18 pemancing, kru bot karam di perairan Langkawi ditemui selamat
"Alhamdulillah kejadian semalam hanya 9.4 batu sahaja dari Pulau Singa Besar, tapi kalau ia berlaku di Pulau Perak, iaitu 60 batu dari Langkawi, kita nak menentukan kedudukan bot tidak dapat, itu akan menjadikan kes itu satu kejadian yang buruk," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya memuji tindakan tekong bot pancing itu yang memastikan semua pemancing dan kru, berada dekat antara satu sama lain ketika terapung hampir tujuh jam di dalam air sementara menunggu bantuan.
BACA: Bot karam di perairan Langkawi: Tindakan tekong tepat dan wajar dipuji - APMM
BACA: 'Bot karam dibadai ombak 5 meter' - Mangsa cerita detik cemas 7 jam terumbang-ambing di lautan
"Mereka melakukan ikatan antara satu sama lain bagi mengelakkan ada yang hanyut ataupun terpisah, dan Alhamdulillah kesemua mereka memakai jaket keselamatan yang berfungsi dengan baik," katanya.
Dalam kejadian semalam, kesemua empat kru dan 14 pemancing warga tempatan berumur antara 26 hingga 55 tahun berjaya diselamatkan bot nelayan tempatan pada pukul 7.30 malam, setelah bot yang dinaiki mereka karam pada pukul 2.15 petang di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat sini.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #PLB #Pengesan Lokasi Individu #Mohd Zawawi Abdullah
;