Maritim Malaysia rampas bot, tahan 20 nelayan Vietnam
Bernama
Mac 31, 2021 04:24 MYT
Mac 31, 2021 04:24 MYT
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 20 kru termasuk tekong, ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan Terengganu.
Pengarah APMM Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin lepas dan bot tersebut ditahan pada jarak 120 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, pukul 6.45 petang oleh Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang menjalankan Op Kuda Laut.
Beliau berkata siasatan mendapati, kru terbabit termasuk tekong yang berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah.
"Ketika tangkapan dilakukan ke atas bot terbabit, mereka cuba melarikan diri dengan menukar haluan bot dan enggan memberi kerjasama ketika pasukan geledah APMM, hendak membuat pemeriksaan.
"Selain itu, bot tersebut turut disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Muhammad Suffi berkata, turut dirampas ialah hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta, serta semua nelayan yang ditahan diiring masuk ke jeti Maritim Kuala Terengganu.
Beliau berkata APMM tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.
-- BERNAMA
#APMM
#Kuala Terengganu
#siasatan
#nelayan
#bot
#Vietnam
#Malaysia
#perairan terengganu
#menangkap ikan
#nelayan asing
#Muhammad Suffi Mohd Ramli
#Op Kuda Laut
#KM pekan
#nombor pendaftaran palsu
#tekong
#dokumen pengenalan diri
#permit
#ceroboh
#hasil laut