Maritim Malaysia perlu tambah aset

Nur Fazlizai Ali
Jun 7, 2022 09:00 MYT
Tugas pihak Maritim bukan hanya tertumpu kepada rondaan, pencerobohan nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) malahan turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. - Foto fail/BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memerlukan penambahan aset bagi menangani pelbagai isu termasuk pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan di perairan negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata keupayaan aset yang ada ketika ini tidak mencukupi untuk berdepan dengan tugas yang makin mencabar.
Katanya kerana tugas pihak Maritim bukan hanya tertumpu kepada rondaan, pencerobohan nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) malahan turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Tidak mencukupi dengan keperluan kita di semua keadaan dan kita bukan sahaja nak menguruskan hal-hal mencari dan menyelamat, kita juga membuat rondaan biasa, pantau pencerobohan nelayan asing, memang tidak mencukupi dengan yang sedia ada," katanya.
Bagaimapun Saiful Lizan berkata keupayaan Maritim Malaysia itu akan diperkasakan menerusi perolehan aset baharu, antaranya kapal ronda persisiran pantai dan pesawat udara.
Selain itu Saiful Lizan berkata pihaknya juga bakal menerima 30 buah bot pemintas laju.
"InsyaAllah perkara itu sedang diatasi dan kita mengharapkan seperti yang dijanjikan kepada pihak APMM dan Kementerian Dalam Negeri, kita akan menerima pada tahun ini sebuah kapal dahulu untuk OPV dan seterusnya bagi tahun hadapan enam bulan pertama kapal kedua dan seterusnya kapal ketiga.
"Jadi menjelang bulan Disember tahun depan, kita akan mempuyai tiga kapal OPV baharu yang akan diserahkan kepada APMM," katanya.
Beliau berkata setakat ini pihak Maritim Malaysia mempuyai 260 buah aset merangkumi 70 buah kapal dan 190 buah bot.
#Maritim Malaysia #aset #Saiful Lizan Ibrahim #APMM
;