Maritim Malaysia nasihat orang awam jaga keselamatan ketika lakukan aktiviti laut
Bernama
Disember 25, 2023 15:15 MYT
Disember 25, 2023 15:15 MYT
PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihati orang awam untuk sentiasa menjaga keselamatan ketika melakukan aktiviti laut pada musim perayaan ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata mereka yang ingin melakukan aktiviti laut perlu menyemak ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi memandangkan keadaan laut kini bergelora akibat Monsun Timur Laut.
"Maritim Malaysia menggesa semua pihak yang akan ke laut untuk memastikan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan semasa belayar, memancing atau sebarang kegiatan yang melibatkan pergerakan di laut.
"Selain jaket keselamatan, orang awam yang melakukan aktiviti di laut juga dinasihatkan untuk membawa bersama alat Personal Locator Beacon kerana ia dapat membantu dan mempercepatkan bantuan carilamat di laut apabila berlaku kecemasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamid turut menasihati pengusaha bot pelancong supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang laut ditetapkan seperti memastikan kapasiti maksimum penumpang dan pemakaian serta penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi dengan jumlah penumpang.
Beliau berkata orang ramai juga diminta menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri yang berhampiran sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut untuk tindakan segera.
-- BERNAMA