Maritim Malaysia nafi ceroboh Indonesia
Bernama
Mac 9, 2020 15:29 MYT
Mac 9, 2020 15:29 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan agensi itu menceroboh perairan Indonesia dan merampas hasil laut nelayan republik berkenaan, kata Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman.
Sebaliknya, beliau menegaskan dalam kejadian pada 21 Januari lalu, Kapal Maritim (KM) Malawali hanya melakukan pengusiran terhadap 26 bot nelayan Indonesia supaya beredar dari kawasan pertindihan iaitu kira-kira 25 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak.
"Kita mendapati ada provokasi yang dibuat melalui laman Facebook di Indonesia yang mendakwa Maritim Malaysia telah memasuki perairan Indonesia dan mengambil hasil laut yang berada dalam bot nelayan mereka.
"Kita mempunyai rekod dan bukti bahawa tiada penggeledahan dibuat ke atas semua bot itu dan kita juga membuat pengusiran secara lisan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Perak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ketika kejadian, KM Malawali hanya memanggil naik seorang tekong dari sebuah bot nelayan Indonesia untuk rundingan supaya dia meminta semua bot lain beredar dengan segera tanpa perlu Maritim Malaysia membuat sebarang pemeriksaan.
"KM Mawali telah mengambil pendekatan mengikut perjanjian memorandum persefahaman (MOU) yang telah dipersetujui kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam aktiviti penangkapan ikan di kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia berdasarkan perjanjian di bawah Artikel 2.
"Merujuk kepada Artikel 3, pendekatan yang perlu diambil agensi terlibat di dalam kes luar jangka seperti itu, agensi perlu meminta nelayan yang dicurigai supaya meninggalkan kawasan terbabit dengan membuat komunikasi secara terbuka," katanya.
Dalam pada itu, Shahrizan berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan segelintir nelayan tempatan bahawa kejadian itu menyebabkan pihak berkuasa Indonesia bertindak mengganggu mereka ketika menangkap ikan di kawasan sempadan perairan negara.
Katanya, dakwaan itu susulan terdapat tiga kes bot nelayan tempatan bersama kru Indonesia dan Thailand yang dikatakan ditarik masuk ke perairan republik terbabit untuk siasatan lanjut ketika menangkap ikan di kawasan pertindihan.
"Kesemua bot itu dari Hutan Melintang, Pulau Pangkor dan Bagan Panchor ditahan sejak awal Februari lepas dan hanya sebuah bot iaitu dari Bagan Panchor bersama lima kru warga Thailand telah dilepaskan dan diserahkan kepada KM Gagah pada 26 Febuari selepas ditahan selama sehari," katanya.- BERNAMA
#ada provokasi yang dibuat melalui laman Facebook
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#Facebook
#Malawali
#Maritim Malaysia
#menceroboh perairan Indonesia