Maritim Malaysia jalani latihan bersama kapal Pengawal Pantai Jepun
Bernama
Julai 17, 2022 19:29 MYT
Julai 17, 2022 19:29 MYT
KUALA LUMPUR: Banyak manfaat diperolehi oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menyertai Latihan Komunikasi Mencari dan Menyelamat (SARCOMEX) bersama dengan kapal latihan Pengawal Pantai Jepun (JCG) "KOJIMA" di luar pantai Kuantan baru-baru ini, terutamanya dalam aspek mengendalikan kecemasan yang melibatkan kapal asing.
SARCOMEX yang berlangsung pada 6 Julai lepas dilihat sangat penting, selaras dengan kedudukan kawasan perairan Malaysia yang menjadi laluan penting bagi pengangkutan ekonomi ke rantau Asia Tenggara, menurut Kedutaan Jepun di Malaysia.
"SARCOMEX diwujudkan menerusi kerjasama JCG dengan Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim Putrajaya (MRCC), katanya dalam kenyataan hari ini.
Latihan itu dijalankan di BSMM Putrajaya dengan "KOJIMA" dengan kedua-dua pihak menghubungi satu sama lain sebagai latihan komunikasi untuk menjayakan operasi menyelamat.
Antara pegawai yang mendapat manfaat daripada latihan itu ialah Penolong Pengarah Jabatan Mencari dan Menyelamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia Lt Madya Maritim Mohd Ridhaudden Rosman.
"Latihan ini meningkatkan tahap keyakinan anggota MRCC dalam mengendalikan situasi kecemasan melibatkan kapal asing," katanya kepada Bernama hari ini.
"Diselaraskan oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), SARCOMEX meningkatkan kemahiran komunikasi dan teknik pengumpulan maklumat saya ketika menjalankan misi mencari dan menyelamat," tambahnya.
Kedutaan Jepun berkata kapal latihan "KOJIMA" berlepas dari Jepun pada awal Mei tahun ini dan mengemudi melalui Lautan Pasifik ke San Francisco, Honolulu, dan Singapura untuk menyediakan latihan bagi kadet Akademi Pengawal Pantai Jepun.
SARCOMEX telah dijalankan semasa perjalanan pulang KOJIMA ke Jepun dari Singapura dan latihan itu meningkatkan keupayaan aktiviti Mencari dan Menyelamat untuk keselamatan maritim dan mengeratkan hubungan bersama antara JCG dan Maritim Malaysia.
Sebahagian besar punca utama latihan ini dapat dijayakan adalah disebabkan oleh langkah Jepun meluaskan kerjasama dengan Malaysia melangkaui hubungan dua hala dan seterusnya menggalakkan kerjasama keselamatan serta keselamatan maritim serta pembinaan kapasiti.
Seorang lagi peserta Lt Madya Maritim Rezzal Muhammad Hazmi berkata latihan itu mensimulasikan MRCC Putrajaya menerima amaran kecemasan daripada kapal Jepun MY UMIMARU, yang melaporkan seorang anak kapal memerlukan bantuan perubatan segera.
Beliau berkata dalam simulasi latihan itu, oleh kerana 'KOJIMA' secara kebetulan berada hampir dengan lokasi, MRCC Putrajaya meminta JCG untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan, dan menurutnya latihan itu bertujuan memantau penyelarasan antara MRCC Putrajaya dan kapal JCG dalam menyelamatkan mangsa.
Latihan ini melibatkan empat pegawai JCG dan empat kakitangan MRCC.
Komander Ryosuke Tateishi, pakar JICA yang dihantar ke Maritim Malaysia dari JCG berkata, latihan itu pastinya akan meningkatkan kemahiran sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana di laut, terutama di perairan Malaysia yang merupakan laluan penting untuk pengangkutan ekonomi ke rantau Asia Tenggara.
Jepun telah banyak menyokong pembangunan kapasiti pegawai pengawal pantai Malaysia sejak Maritim Malaysia ditubuhkan pada 2005, dengan pegawai pengawal pantai Jepun kini berkhidmat sebagai pengajar untuk menyediakan latihan.
Mantan Perdana Menteri Jepun mendiang Shinzo Abe yang melawat Malaysia Mac lepas sebagai wakil khas Perdana Menteri Fumio Kishida, sebelum ini dilaporkan berkata amat penting bagi kedua-dua negara untuk terus menggalakkan kerjasama keselamatan dan keselamatan maritim, serta pembinaan kapasiti.
Beliau berkata ini akan menyumbang kepada merealisasikan 'Indo-Pasifik Yang Bebas dan Terbuka (FOIP)' dan 'Kerjasama ASEAN Indo-Pasifik (AOIP)' untuk menjamin keamanan serta kemakmuran di rantau ini dan masyarakat antarabangsa.
-- BERNAMA