Maritim Malaysia, Interpol buru 12 kru kapal rompak diesel di perairan negara

Muhammad Aiman Hakeem
Disember 21, 2021 18:19 MYT
Semua kru terbabit melarikan diri selepas memindahkan minyak berkenaan dan meninggalkan kapal berkenaan di perairan itu pada 5 Oktober lalu. - Gambar/ Maritim Malaysia
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memburu 12 kru kapal warga Indonesia yang disyaki merompak 1.8 juta liter minyak diesel bernilai RM4.86 juta di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria, berkata pihaknya baru-baru ini menerima notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung senarai suspek rompakan muatan kapal tangki MT Ocean Pride.
Katanya, semua kru terbabit melarikan diri selepas memindahkan minyak berkenaan dan meninggalkan kapal berkenaan di perairan itu pada 5 Oktober lalu.
"Semua mereka dikesan bagi membantu siasatan kes kapal tangki MT Ocean Pride yang terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengesan 12 lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Mereka ialah Haryadi Tri Tomi, Mangalik Despiandri, Nordiansyah Muhammat, Pasaribu Suherri Nanda, Pinem Jendri dan Prasetyo Agung.
"Saputra Pandu Prasetya, Siddiq Muhammad, Silaban Rusman, Syahputra Haloho Maraek, Tarigan Harry Pranata dan Yusran," katanya.
Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Komander (M) Mohd Affandi Ismall (03-89957935) atau Leftenan (M) Mohd Feerdaus Daud (07-8916595) di Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.
Selain itu, mereka boleh melaporkan maklumat ke Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor atau ke pejabat Maritim Malaysia berhampiran
Pada 5 Oktober lalu, Kapal MT Ocean Pride yang berdaftar di Cook Islands dalam pelayaran dari Singapura menuju ke Dili East Timor bersama 12 kru warganegara Indonesia.
Pada pukul 1 tengah hari, Maritim Malaysia telah menerima laporan awam berkaitan insiden rompakan kapal tersebut di kedudukan 23.6 batu nautika timur, Tanjung Siang, Johor.
Hasil pemeriksaan oleh aset Maritim Malaysia di lokasi mendapati, kapal tersebut ditinggalkan tanpa kru, manakala kargo diesel beranggaran 1,800,305 liter diesel bersamaan RM4,86 juta telah dilarikan daripada kapal tersebut.
#rompakan kapal dagang #perairan Malaysia #Maritim Malaysia #kru kapal indonesia
;