Maritim Kelantan tahan dua bot nelayan asing ceroboh perairan negara
Bernama
Mei 30, 2024 23:33 MYT
Mei 30, 2024 23:33 MYT
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 21 warganegara Vietnam dalam dua bot nelayan disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara, Ahad lepas.
Pengarah Maritim Kelantan Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 67 tahun itu ditahan kapal Maritim yang sedang melaksanakan rondaan sekitar 10 hingga 10.30 pagi di 140 batu nautika dari muara Tok Bali.
"Kedua-dua bot terbabit tidak memberikan kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kapal ronda Maritim Malaysia kemudian bertindak memintas dan menghentikan bot berkenaan.
Menurutnya pemeriksaan pada bot pertama menemukan 17 kru termasuk tekong manakala bot kedua dengan empat kru termasuk tekong.
Erwan Shah berkata pihaknya turut merampas tujuh tan hasil tangkapan, bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,500 liter yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3.3 juta.
Beliau berkata kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya sejak Januari sehingga hari ini, pihaknya telah menahan 12 bot nelayan Vietnam dengan jumlah rampasan keseluruhan RM15.4 juta.
-- BERNAMA