Maritim gagalkan taktik dua bot Vietnam menyamar bot tempatan

Nur Fazlizai Ali
Mac 13, 2021 08:19 MYT
Satu daripada dua buah bot yang mencurigakan, dikesan Maritim Terengganu sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Taktik dua buah bot asing yang menyamar sebagai bot tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran meragukan tidak berhasil selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya membongkar helah itu.
Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam itu ditahan sekitar 40 batu nautika di timur laut Pulau Tenggol kira-kira jam 3 petang pada Rabu.
"Kaedah menggunakan nombor pendaftaran meragukan pada badan bot nelayan Vietnam untuk mengaburi pihak berkuasa tidak berkesan.
"Ini kerana, struktur fizikal bot yang berbeza membolehkan penguat kuasa mengenal pasti fizikal bot mencurigakan, seterusnya mematahkan taktik jahat ini," katanya pada Jumaat.
Menurut Muhammad Suffi, ketika melakukan operasi yang dinamakan Ops Kuda Laut itu, pihaknya mengesan dua buah bot yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
Bagaimanapun, ketika mereka cuba menghampiri, tekong bot berkenaan bertindak melarikan diri.
Namun, tindakan pantas pihaknya berjaya memintas bot terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati, tekong telah mengemukakan dokumen lesen yang meragukan pihak penguasa.
Muhammad Suffi berkata, pihaknya juga menemui lapan kru yang bersembunyi di ruang jentera utama.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua bot tersebut mendapati, seramai 23 kru termasuk tekong tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit pekerja asing yang sah.
Mereka dipercayai warga Vietnam.
Susulan itu, pihak Maritim merampas dua bot, semua peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan, termasuk diesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 14 dan 59 tahun itu dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dokumen lesen disyaki meragukan serta gagal mempamerkan permit kerja untuk melakukan pengoperasian penangkapan hasil laut di perairan negara.
Selain itu, kes juga akan disabitkan dengan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
#operasi #siasatan #Vietnam #pekerja asing #bot #nelayan #menyamar #maritim #tangkap ikan #perairan negara #tekong #taktik jahat #terengganu #jeti #Ops Kuda Laut #Muhammad Suffi Mohd Ramli #bot asing #nombor pendaftaran meragukan #permit #dokumen pengenalan diri #diesel
;