Marimuthu dipilih semula sebagai Presiden Consumers International

Bernama
Disember 9, 2023 19:14 MYT
Marimuthu akan memikul tugas sebagai Presiden Consumers International untuk tempoh empat tahun akan datang. - Foto Fomca
KUALA LUMPUR: Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Profesor Datuk N. Marimuthu dipilih semula sebagai Presiden Consumers International bagi penggal kedua pada mesyuarat agung tahunan yang berlangsung di Nairobi, Kenya semalam.
Setiausaha Agung FOMCA Dr T. Saravanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan Marimuthu akan memikul tugas itu untuk tempoh empat tahun akan datang.
"Ia sememangnya adalah satu penghormatan besar bagi Malaysia apabila Presiden FOMCA telah dipilih semula sebagai Presiden Consumers International yang menjadi bukti kepimpinan dinamik Marimuthu di peringkat global," katanya.
Marimuthu telah dipilih menyandang jawatan itu bagi penggal pertama pada 2019.
Consumers International adalah badan yang menaungi persatuan pengguna di seluruh dunia dengan 200 keanggotaan di lebih 100 negara untuk memperkasa dan memperjuang hak-hak pengguna.
Menurut kenyataan itu, Marimuthu adalah Pengerusi Lembaga Pusat Aduan Pengguna Negara dan beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.
Marimuthu juga adalah Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia (MSAC) dan beliau telah terlibat dalam pergerakan pengguna selama lebih 40 tahun.
-- BERNAMA
#N Marimuthu #Presiden Consumers International #Fomca #Mesyuarat Agung Tahunan
;