MARii sedia gunakan teknologi canggih tangani pandemik COVID-19

Bernama
April 30, 2021 04:41 MYT
Madani berkata memandangkan agensi itu berkembang untuk memberi manfaat kepada sektor selain automotif dan mobiliti, banyak teknologinya telah diguna pakai oleh banyak sektor termasuk pengurusan kesihatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia untuk menggunakan beberapa teknologi canggih yang memanfaatkan kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, pengurusan data raya, simulasi dan lain-lain dalam menangani penularan COVID-19.
Agensi teknologi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menjelaskan ia telah membangunkan beberapa platform pintar untuk mengurangkan penularan COVID-19 berasaskan cari, uji, jejak, asing dan sokong (FTTIS).
Menerusi penggunaan data kawasan berisiko tinggi, platform pemodelan ramalan dan simulasi yang dibangunkan menerusi Pusat Simulasi dan Analisis MARii (MARSAC), ia berpotensi untuk menjangkakan corak jangkitan dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, menurut MARii dalam kenyataan pada Jumaat.
MARii menambah, ia juga mampu untuk menetapkan saringan massa jangkitan virus itu, khususnya dalam usaha mencari pembawa yang tidak bergejala dan menghalang penularan lanjut virus tersebut.
MARii juga telah membangunkan kit ujian biocip ImmuSAFE COVID+, iaitu ujian serologi yang boleh mengenal pasti jangkitan awal dan kehadiran antibodi pelindung dalam badan individu yang mengalami jangkitan awal, tanpa mengira sama ada mereka bergejala atau tanpa simptom.
"Ujian ImmuSAFE memiliki sensitiviti dan kekhususan 100 peratus selain telah disahkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," menurutnya.
Agensi itu menambah, penjejakan dan pengasingan kontak rapat kepada individu yang dijangkiti virus itu boleh dilakukan menerusi aplikasi MARii Tracker, yang mengenal pasti kontak rapat individu yang dijangkiti dan kumpulan yang boleh terus bekerja tanpa risiko.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata memandangkan agensi itu berkembang untuk memberi manfaat kepada sektor selain automotif dan mobiliti, banyak teknologinya telah diguna pakai oleh banyak sektor termasuk pengurusan kesihatan.
Beliau berkata sebahagian besar teknologi yang dibangunkan oleh MARii adalah menerusi perkongsian dengan syarikat tempatan dalam simulasi, kecerdasan buatan, keselamatan siber, pengurusan data raya dan banyak teknologi Industri 4.0 yang lain.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #COVID-19 #kesihatan #keselamatan #teknologi #perubatan #Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia #MADANI SAHARI
;