Maria Chin dihukum penjara tujuh hari kerana hina mahkamah

Bernama
April 25, 2022 16:28 MYT
Maria Chin Abdullah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.
Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhi hukuman itu selepas mendapati artikel yang diterbitkan oleh Maria Chin selaku responden pada 5 Sept 2019 berkaitan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi, jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah serta menghina Mahkamah Syariah.
"Tajuk yang digunakan oleh responden (Maria Chin) dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi Mahkamah Syariah di mata awam. Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya.
"Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden melalui artikel yang diterbitkan pada 5 Sept 2019.
"Mahkamah juga menolak notis tunjuk sebab yang dikemukakan oleh responden (Maria Chin). Oleh itu mahkamah memerintahkan Maria Chin Abdullah dihukum penjara tujuh hari mulai hari ini," kata hakim itu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah.
Pada 10 Sept 2019, SM Faisal, yang merupakan pengarah Naza World Group dan ibunya, Datin Seri Zaleha Ismail selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Okt 2019.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syarie Mohamed Fouzi berkata, kenyataan responden bukan tergolong dalam komen yang adil, bahkan seolah-olah berniat memburukkan Mahkamah Syariah dengan menggunakan fakta kes yang tersasar dan tidak berkaitan.
"Kenyataan yang dibuat ini tidak berdasarkan fakta sebenar yang berlaku di dalam penghakiman mahkamah itu sendiri dan menjerumuskan responden kepada salahnyataan dan penghinaan kepada mahkamah ini.
"Sudah tentu, dengan kenyataan yang bersifat memburukkan, skandal, bersifat negatif, menuduh dengan menggunakan fakta yang tidak tepat boleh menyebabkan kepercayaan awam kepada Mahkamah Syariah semakin terjejas teruk akibat tindakan responden," katanya.
Hakim syarie itu berkata responden sengaja menghina mahkamah itu dengan menyatakan bahawa mahkamah melakukan diskriminasi kepada Emilia bahkan kepada wanita-wanita yang mendapatkan perkhidmatan keadilan di mahkamah.
"Fakta sebenarnya adalah semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa ini adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang mana responden sebagai Ahli Yang Berhormat turut berada di dalamnya dan dikuatkuasakan dengan kelulusan dan persetujuan ahli yang berhormat.
"Mahkamah ini hanya melaksanakan keadilan yang dibenarkan oleh undang-undang yang telah diluluskan oleh Ahli Yang Berhormat dan menguatkuasakan keadilan tanpa mengira jantina berdasarkan tuntutan pihak-pihak tersebut," kata hakim itu.
Katanya, sebagai seorang Ahli Yang Berhormat, responden seharusnya lebih mengetahui bahawa mahkamah itu hanya akan memutuskan kes setelah semua prosedur ditetapkan telah dipenuhi dan hanya berdasarkan wujud bukti yang jelas.
Hakim Syarie itu berkata, sebagai Ahli Parlimen yang berperanan meluluskan sesuatu undang-undang, adalah tidak wajar bagi responden mempertikai dan merendahkan serta menghina undang-undang dan mana-mana mahkamah semasa mahkamah itu menjalankan tugasnya.
"Bahkan sebagai Ahli Yang Berhormat, responden mempunyai cukup ruang dan tempat yang luas untuk mendapatkan maklumat yang tepat selain memberi pandangan dan cadangan yang baik dan adil untuk kebaikan mahkamah ini," katanya. - BERNAMA
#Maria Chin #Maria Chin dipenjara 7 hari #hina mahkamah #mahkamah syariah
;